Infomaklumat

Covid-19 makin samar bukan tiket berjoli… jadilah kedekut sikit,10 sen pun kini bernilai!

KOMER semua mesti sedar pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini bukan sahaja memberi ancaman kepada nyawa manusia tetapi turut memberi kesan kepada sektor ekonomi.

Benar negara kita hampir mencapai kemenangan dan dalam fasa ‘pemulihan’ namun adakah itu alasan untuk kita kembali kepada kehidupan sebelum terjadinya wabak itu?

New normal yang dilaungkan bukan hanya sekadar memakai topeng dan menjaga penjarakkan sosial semata-mata tetapi sebenarnya ia lebih daripada itu.

Ni teman nak kongsi, Pertubuhan Keselamatan Pekerja (PERKESO) menerusi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) melaporkan kehilangan pekerjaan di Malaysia meningkat sebanyak 42 peratus untuk suku pertama tahun ini. Seramkan komer?

Menerusi laporan bertajuk ‘Employment Outlook, the 1st Quarter of 2020, Volume 4/2020, The Impact of Covid-19 on Loss of Employment (LOE), SIP memaklumkan pandemik itu turut menjejaskan banyak perniagaan sehingga mengalami penurunan permintaan sebanyak 37 peratus atau tidak dapat beroperasi seperti biasa (42 peratus).

Pada waktu sekarang, 10 sen pun besar nilainya.

Di samping itu, kadar pengangguran dijangka mencecah empat peratus pada 2020 berbanding 3.2 peratus semasa krisis kewangan Asia pada 1997 dan 3.7 peratus ketika kegawatan ekonomi pada 2018.

Situasi semasa itu cukup buatkan teman gerun tetapi masih belum terlambat sekiranya kita ambil langkah proaktif bagi menghadapi situasi sukar dan samar.

Kes Covid-19 mungkin sudah semakin menghampiri sifar tetapi kesan yang ditinggalkan nampaknya akan beri kesan lebih lama sekiranya kita tak beringat dari sekarang.

Katalah apa pun, pada akhirnya, ia berbalik kepada diri sendiri bagaimana kita mahu terselamat daripada bencana dan ‘rempuhan’ yang boleh datang pada bila-bila masa.

Jika masih ada yang belum tersedar daripada lamunan – apa kata kita mulakan norma baharu dengan mengawal nafsu perbelanjaan dan mengubah gaya hidup sesuai dengan situasi semasa.

Sekarang bukanlah masanya untuk berseronok, menghabiskan wang kepada benda-benda berbentuk kehendak seperti gajet terkini semata-mata untuk memenuhi nafsu dan nampak hebat di mata orang lain.

Fikir dua kali sebelum membuat sesuatu pembelian dan tanya diri sendiri apakah berbaloi untuk membazirkan wang untuk perkara yang bukan menjadi keperluan.

Adakah taraf diri kita akan jatuh dan dipandang hina sekiranya terus menggunakan telefon model lama atau sekadar untuk nampak hebat di mata orang lain?

Bukanlah teman nak kata salah membeli sesuatu demi kepuasan diri sendiri tetapi situasi semasa ini adalah wake up callterbaik untuk kita nilai kembali tentang gaya hidup kita.

Lupakan nafsu beli-belah dan simpan wang untuk kegunaan waktu sukar.

Jika sebelum ini tak pernah menabung – mulakan dari sekarang juga. Biasakan diri untuk tetap asingkan wang membayar rumah dan kereta meskipun bank memberi penangguhan pembayaran susulan pelaksanaan moratorium selama enam bulan yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini.

Sekurang-kurangnya, selepas tempoh enam bulan, sekiranya terjadi apa-apa kepada kita seperti diberhentikan kerja, kita ada wang untuk enam bulan berikutnya bagi membayar rumah dan kereta sebelum dapat mencari pekerjaan baharu.

Biarlah kita rasa susah sedikit sekarang, pejamkan mata dan pekakkan telinga sahaja jika tak dapat beli sesuatu barang atau diperli rakan dengan sikap kedekut kita.

Percayalah, jika ada apa-apa terjadi, tiada siapa dapat membantu kerana semua orang ada kebimbangan yang sama. Semua orang ‘kedekut’ demi kelangsungan hidup masing-masing.

Jadi ia perlu bermula daripada sikap kita sendiri. New Normal yang satu ini perlu kita amalkan dari sekarang kerana 10 sen pun sangat besar nilainya ketika ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *